Sejarah Sekolah Sekolah_Berasrama_Penuh_Integrasi_Temerloh

SBPI Temerloh

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh atau dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Temerloh mula dibuka pada 1 Januari 2002. Pada awalnya, sekolah ini menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh sementara menunggu kompleks yang sebenar di Kerdau, Temerloh siap. Kompleks tersebut berkeluasan 32 ekar. Guru-guru yang bertanggungjawab mentadbir dan mengurus sekolah semasa memulakan sesi persekolahan 2002 ialah Abdul Razak bin Alias (menjalankan tugas pengetua sehingga 15 Mac 2002), Abdul Khalid bin Daud, Zakaria bin Khalid, Zaripin bin Ismail, Abdul Rafar bin Yahya, Ruzawati binti Ramly, Zaitun binti Hamzah, Norashidah binti Che Hassan, Norhayati binti Zakaria dan Norehan binti Hassan.

Kumpulan pertama pelajar ialah seramai 106 orang dengan 50 orang pelajar lelaki dan 56 orang pelajar perempuan. Kesemua pelajar tersebut dibahagikan kepada 3 buah kelas dan pada 16 Mac 2002, Puan Hajah Afiah binti Abd Razak telah menjadi pengetua pertama sekolah ini. Pada 4 Jun 2002, 12 orang guru, 4 orang staf sokongan dan 93 orang pelajar sekolah ini telah berpindah ke kompleks sebenar sekolah di Kerdau. Pengambilan kedua pelajar melibatkan 65 orang pelajar. Pada 1 Jun 2002, Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh telah diambil alih oleh Sektor Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pelajaran Malaysia. Seiring dengan itu, bilangan pelajar tingkatan satu telah bertambah kepada 153 orang dengan 75 lelaki dan 78 perempuan. Jumlah kelas telah bertambah kepada 5 kelas iaitu 1 Al-Bukhari, 1 Al-Muslim, 1 At-Tirmizi, 1 An-Nasai dan 1 Ibnu-Majah. Jumlah guru juga telah bertambah kepada 14 orang. Sehingga Oktober 2011, bilangan pelajar seramai 529 orang pelajar.

Terkini, nama-nama kelas bagi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh telah diubah kepada Smart, Brilliant, Perfect, Intelligent. Asalnya terdapat tambahan kelas Thinker namun kelas tersebut berakhir setelah aliran sains teknikal tidak lagi ditawarkan di sekolah ini bermula tahun 2016.

Surau SBPI Temerloh

Pada 30 April 2011, satu mesyuarat rasmi telah diadakan di SBPI Temerloh untuk membentuk Alumni rasmi SBPI Temerloh dengan gelaran AITEM (Alumni SBP Integrasi Temerloh). Pada 18 Oktober 2011, persatuan alumni ini telah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia dengan nama rasmi Persatuan Alumni Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh (AITEM).

Sekolah ini juga telah dianugerahkan Sekolah Kluster Kecemerlangan pada tahun 2011.